|
"Satu konsep
matematik boleh ditakrifkan sebagai corak asas yang
menghubungkaitkan set-set objek atau tindakan-tindakan antara satu
sama lain dan pengajaran konsep-konsep matematik merupakan satu
usaha yang kompleks"
"Mengikut pendapat
ahli konstruktivisme, pengetahuan konsep tidak dapat dipindah dari
seorang kepada seorang yang lain, tetapi mesti dibina oleh setiap
pelajar berasaskan sepenuhnya kepada pengalamannya."
"Semasa bermain,
kanak-kanak bersua dengan pelbagai istilah matematik dalam
persekitarannya, Ini telah membina pengetahuan
matematik tidak formal yang bermakna, menarik dan berguna kepada mereka."
"Operasi mental
adalah dirangsangkan melalui interaksi sosial yang aktif dengan
rakan sebaya dan orang dewasa yang lebih berterampilan.
Operasi-operasi ini akan diserap ke dalam minda seseorang dan
menukar menjadi sesuatu yang diperlukannya."
"Peluang-peluang
bagi kanak-kanak membina pengetahuan matematik wujud apabila
mereka berinteraksi dengan guru dan rakan sebayanya. Pembinaan
matematik yang dihasilkan oleh kanak-kanak dikatakan bukan wujud
secara tersendiri. Sebaliknya, pembinaan-pembinaan itu terkawal
oleh kewajipan masing-masing untuk membentuk interpretasi yang
boleh disesuaikan dengan pembinaan ahli dalam komuniti bilik
darjah."
"satu
pendekatan yang dikatakan berguna haruslah yang boleh
merangsangkan, secara spontan, minat dan penglibatan kanak-kanak
dalam persekitaran yang semula jadi dan menolong mereka
memperkembangkan dan melengkapi pengetahuan matematik tidak
formal itu."
"Most would agree
that teaching and learning could occur without texts, blackboards,
or manipulatives, but we maintain that the learning process would
exist for only a very few students if classroom interaction with
teachers and peers were eliminated. Teacher-student interactions are
indeed the heartbeat of the teaching-learning process."
"cara-cara bagaimana pembelajaran
koperatif kumpulan kecil boleh membantu mengatasi masalah pelajar
seperti perasaan kecewa, takut kepada matematik, mengelak matematik
dan lain-lain lagi."
"Students must talk,
with one another as well as in response to the teacher...When
students make public conjectures and reason with others about
mathematics, ideas and knowledge are developed collaboratively,
revealing mathematics as constructed by human beings within an
intellectual community."
"Pembelajaran koperatif kumpulan kecil boleh membantu
mengatasi masalah pelajar seperti perasaan kecewa, takut kepada
matematik, mengelak matematik dan lain-lain lagi."
|
|
1.0 Pengenalan
Persoalannya yang selalu timbul dalam proses
pengajaran dan pembelajaran matematik ialah:
'Bagaimanakah hendak
menghasilkan perancangan pengajaran matematik yang berkesan?'
Soalan
ini bukan satu soalan yang boleh dijawab dengan mudah. Dalam era
konstruktivisme ini, sebagai seorang guru matematik, dia harus tahu
bagaimana pelajar-pelajar memperolehi atau membina dan
memperkembangkan pengetahuan matematik, dan cara-cara yang boleh
menggalakkan proses membina pengetahuan matematik di dalam minda
pelajar.
Konstruktivisme merupakan satu pendekatan dalam pengajaran dan
pembelajaran. Dalam pendekatan ini murid dianggap telah mempunyai
idea yang tersendiri tentang sesuatu konsep yang belum dipelajari.
Idea tersebut mungkin benar atau tidak.
Konstruktivisme melibatkan lima fasa, iaitu:
-
Guru meneroka pengetahuan sedia ada murid pada permulaan sesuatu
pelajaran melalui soal jawab atau ujian.
-
Guru menguji idea atau pendirian murid melalui aktiviti yang
mencabar idea atau pendiriannya.
-
Guru membimbing murid menstruktur semula idea.
-
Guru memberi peluang kepada murid mengaplikasikan idea baru yang
telah diperoleh untuk menguji kesahihannya.
-
Guru membimbing murid membuat refleksi dan perbandingan idea
lama dengan idea yang baru diperoleh.
Pendapat yang dikemukakan oleh ahli-ahli konstruktivisme
ialah seseorang individu membina pengetahuan dalam mindanya melalui
proses-proses menghubungkaitkan maklumat baru dengan pengetahuan
yang lama atau sedia ada.
Unsur-unsur konstruktivisme telah lama dipraktikkan dalam
kaedah pengajaran dan pembelajaran di peringkat sekolah, maktab dan
universiti tetapi tidak begitu ketara dan tidak ditekankan.
Mengikut kefahaman konstruktivisme, ilmu
pengetahuan sekolah tidak boleh dipindahkan daripada guru kepada
guru dalam bentuk yang serba sempurna. Murid perlu membina sesuatu
pengetahuan itu mengikut pengalaman masing-masing. Pembelajaran
adalah hasil daripada usaha murid itu sendiri dan guru tidak boleh
belajar untuk murid. Blok binaan asas bagi ilmu pengetahuan sekolah
ialah satu skema iaitu aktiviti mental yang digunakan oleh murid
sebagai bahan mentah bagi proses renungan dan pengabstrakan. Fikiran
murid tidak akan menghadapi realiti yang wujud secara terasing dalam
persekitaran. Realiti yang diketahui murid adalah realiti yang dia
bina sendiri. Murid sebenarnya telah mempunyai satu set idea dan
pengalaman yang membentuk struktur kognitif terhadap persekitaran
mereka.
Pengajaran pengetahuan matematik selalu
dihubungkaitkan dengan pengajaran konsep matematik. Mengikut
Souviney (1989), satu konsep matematik boleh ditakrifkan sebagai
corak asas yang menghubungkaitkan set-set objek atau
tindakan-tindakan antara satu sama lain dan pengajaran konsep-konsep
matematik merupakan satu usaha yang kompleks. Beliau mengatakan setiap pelajar mempunyai set pengalaman dan kebolehan yang unik
untuk menyelesaikan setiap tugasan pembelajaran. Dengan ini, guru
matematik memainkan peranan yang penting dalam perancangan
pengajaran yang berkesan untuk membantu pelajar membina dan
mengembangkan pengetahuan matematik.
2.0 Pembinaan dan Perkembangan Pengetahuan
Matematik dalam Minda Pelajar
Semenjak kebelakangan ini, hasil-hasil kajian
tentang proses pembelajaran matematik telah menunjukkan bahawa
pengetahuan matematik adalah dibina dan dikembangkan dalam minda
seseorang individu itu oleh dirinya sendiri.
Mengikut Piaget (dalam Souviney, 1989), semua
pengetahuan baru boleh difahami hanya apabila dikaitkan dengan yang
sedia ada. Beribu-ribu pengurusan struktur atau skema dikembangkan
di sepanjang hayat seseorang. Melalui proses interaktif asimilasi
dan akomodasi, individu-individu berusaha mencapai keseimbangan yang
bersepadu dan mengalami peringkat-peringkat perkembangan itu.
Seseorang individu dikatakan akan mengasimilasikan apa yang baru
diketahui dengan apa yang sudah diketahui, untuk mencapai pemahaman.
Pengalaman lama akan berubah secara beransur-ansur, atau yang
dikenali sebagai akomodasi, disebabkan oleh pengalaman baru ini.
Ahli psikologi Rusia, Lev Vygotsky (dalam
Souviney, 1989) pula mengatakan operasi mental adalah dirangsangkan
melalui interaksi sosial yang aktif dengan rakan sebaya dan orang
dewasa yang lebih berterampilan. Operasi-operasi ini akan diserap ke
dalam minda seseorang dan menukar menjadi sesuatu yang diperlukannya.
Beliau juga membahaskan bahawa pengajaran berkesan ialah apabila
pelajar bekerjasama melibatkan diri dalam aktiviti dalam suasana
yang menyokong pembelajaran dan menerima bimbingan yang berpatutan
dari guru. Guru berperanan mengorganisasikan interaksi untuk
membantu kanak-kanak menyelesaikan tugasan pembelajaran.
Kajian yang dijalankan ke atas kanak-kanak di
tadika oleh Baroody & Ginsburg (1990), menunjukkan bahawa
kanak-kanak sendiri membina pengetahuan matematik yang tidak formal
sebelum mereka mengikuti kelas formal di sekolah. Hasil kajian ini
boleh kita lihat dalam aktiviti harian kanak-kanak yang belum
mengikuti pendidikan formal. Semasa bermain, kanak-kanak dalam
golongan ini selalunya bersua dengan istilah-istilah matematik
seperti ‘lebih tinggi’, ‘lebih rendah’, ‘segitiga’, ‘bulat’, ‘dua’,
‘tiga’, dan sebagainya. Proses-proses pembelajaran yang tidak formal
tentang pengetahuan matematik, seperti ukuran, ruang, bentuk
geometri, dapat dikatakan berlaku dalam situasi sedemikian.
Dengan menggunakan istilah matematik sedemikian
semasa berinteraksi dengan rakannya, matematik tidak formal dibina
dalam minda kanak-kanak kerana ia berguna kepada mereka atau
bermakna bagi mereka. Mengikut Baroody & Ginsburg (1990),
pengetahuan matematik tidak formal ini dibina dan diperkembangkan
oleh kanak-kanak kerana ia bermakna, menarik dan berguna kepada
mereka, dan perasaan ingin tahu yang ada pada kanak-kanak mendesak
mereka untuk menjadikan persekitaran bermakna, dan mempunyai
keupayaan untuk menguruskannya.
Steffe (1990) pula mengatakan bahawa mengikut
pendapat ahli konstruktivisme, pengetahuan konsep tidak dapat
dipindah dari seorang kepada seorang yang lain, tetapi mesti dibina
oleh setiap pelajar berasaskan sepenuhnya kepada pengalamannya.
Jadi, pembelajaran matematik berlaku apabila
kanak-kanak berinteraksi dengan persekitarannya yang juga termasuk
rakan sebaya dan guru. Pengalaman seseorang kanak-kanak itu yang
merupakan asas kepada pembinaan pengetahuan matematik dalam minda
juga berhubungkait dengan persekitarannya. Dalam proses membesar,
kanak-kanak memperoleh pengalaman melalui proses berinteraksi dengan
persekitarannya iaitu melakukan pemerhatian, mendengar, bercakap,
menyentuh, merasa, meniru dan sebagainya.
:: IKLAN ::

My Rummy adalah permainan kad
secara berkumpulan bagi kanak-kanak sekolah rendah yang menekankan
aspek interaksi dengan rakan sebaya dan guru sebagai pembimbing.
Bercakap, mendengar dan mencongak operasi mental adalah antara
elemen yang menjadi ciri utama permainan kad My Rummy.
3.0 Komunikasi melalui Interaksi Sosial - Membina
dan memperkembangkan Pengetahuan Matematik
Komunikasi melalui interaksi sosial berperanan
penting dalam membina pengetahuan matematik dalam minda pelajar.
Interaksi sosial sebenarnya merupakan salah satu ciri persekitaran
semula jadi yang dialami oleh individu-individu yang normal. Bermula
dari peringkat awal persekolahan lagi, guru harus mewujudkan
komunikasi yang berbentuk interaksi sosial dalama kalangan pelajar
dengan pelajar, pelajar dengan guru dalam proses pengajaran dan
pembelajaran matematik. Dengan berbuat sedemikian guru dapat
membantu kanak-kanak yang mulai mengikuti pendidikan formal ini
memperlengkapkan serta memperbaiki pengetahuan matematik yang tidak
formal yang telah terbina sebelum ini.
Mengikut Ginsburg & Baron
(1993), satu pendekatan yang dikatakan berguna haruslah yang boleh
merangsangkan, secara spontan, minat dan penglibatan kanak-kanak
dalam persekitaran yang semula jadi dan menolong mereka
memperkembangkan dan melengkapi pengetahuan matematik tidak formal
itu.
Koehler & Prior (1993: 281-282) menegaskan bahawa
interaksi guru dan pelajar adalah penting dengan mengatakan,
"Most would agree that teaching and
learning could occur without texts, blackboards, or
manipulatives, but we maintain that the learning process
would exist for only a very few students if classroom
interaction with teachers and peers were eliminated.
Teacher-student interactions are indeed the heartbeat of the
teaching-learning process."
Petikan di atas menyatakan ramai orang yang
setuju bahawa pengajaran dan pembelajaran boleh berlaku tanpa buku
teks, papan tulis, atau bahan manipulatif, tetapi proses
pembelajaran hanya akan wujud bagi beberapa orang pelajar sahaja
sekiranya interaksi pelajar dengan guru dan rakannya dihapuskan.
Interaksi pelajar dengan guru dan rakan sebayanya merupakan
‘denyutan nadi’ proses pengajaran dan pembelajaran.
Oleh yang demikian, interaksi sosial di antara
guru dan pelajar, pelajar dan pelajar, secara individu atau
berkumpulan kecil merupakan salah satu proses komunikasi yang harus
diwujudkan dalam bilik darjah bagi pengajaran dan pembelajaran
matematik.
Dalam pembelajaran matematik, cara-cara untuk
berkomunikasi idea-idea matematik melalui interaksi sosial ialah
melukis atau menulis perwakilan, bercakap, menanya, memberi komen,
mengkritik, membukti, memberi penjelasan, memberi pendapat,
mendengar dan sebagainya.
Mengikut NCTM (1989), perwakilan
melibatkan perterjemahan satu masalah atau idea kepada satu bentuk
yang baru, yang selalunya melibatkan gambarajah, simbol, tatatanda.
Manakala apabila kanak-kanak dalam kumpulan kecil berbincang dan
menyelesaikan masalah, mereka boleh mengaitkan bahan yang mereka
tahu dengan istilah matematik yang mungkin mereka tidak biasa lihat
atau dengar.
Mengikut teori psikologi, kanak-kanak mempunyai
sifat yang aktif dan suka bergaul, yang mana mendorong kanak-kanak
berkomunikasi dengan orang lain. Dengan berkomunikasi, kanak-kanak
berpeluang menjelaskan pemikiran dan mempertajamkan pemikiran mereka.
Aktiviti seperti menerokai, menyiasat, menghuraikan dan menerangkan
idea matematik mempromosikan komunikasi. Soalan berbentuk
penyiasatan dan bimbingan boleh menggalakkan kanak-kanak berfikir
dan menerangkan pemikiran mereka secara lisan atau bertulis,
membolehkan mereka lebih memahami idea-idea yang mereka sampaikan,
seperti yang dikemukakan oleh NCTM (1989:24),
"Interacting with classmates helps
children construct knowledge, learn other ways to think
about ideas, and clarify their own thinking. Writing about
mathematics, such as describing how a problem was solved,
also helps clarify their thinking and develop deeper
understanding. Reading children's literature about
mathematics, and eventually text material, also is an
important aspect of communication that needs more emphasis
in the K-4 curriculum."
Perbualan berikut adalah di antara seorang
kanak-kanak tadika dengan gurunya setelah guru itu mengajar tentang
konsep 'olahan tolak' dan perwakilan simbolnya. Kanak-kanak itu di
tanya oleh gurunya apa yang beliau faham dengan " 6 - 2 = 4 ":
Guru : "Apa yang anda faham dengan "6 - 2
= 4"? Cuba anda bercerita."
Kanka-kanak :" ...Oh, mula-mula saya ada
enam biji gula-gula, lepas itu
saya makan dua biji. Jadi saya masih ada
empat biji lagi. ..."
:: IKLAN ::

Bahasa matematik yang
terdapat pada kad permainan My Rummy seperti "What is the
balance if we take away 3 from 4?" di atas amat sesuai
dengan pengalaman kanak-kanak.
Daripada perbualan ini seseorang guru itu boleh
melihat bagaimana kanak-kanak 'mengkonkritkan' simbol yang abstrak
ke dalam makna yang sesuai dengan pengalamannya.
Seterusnya, salah seorang ahli konstruktivisme,
Von Glasersfeld (1990) berpendapat bahawa pengetahuan matematik
bukanlah dibina secara terasing dari perkara-perkara lain. Setiap
abstraksi yang dibuat oleh individu, ke atas perkara yang berkaitan
dengan pengalaman, adalah terkawal oleh interaksi sosial dan
kolaborasi dan komunikasi yang dibuat olehnya dengan ahli
kumpulannya yang mana beliau dibesarkan bersama. Tiada individu
boleh mengelakkan daripada mewujudkan persesuaian yang berkaitan
dengan domain persetujuan persekitaran sosial. Domain persetujuan
yang perlu dipenuhi oleh seseorang individu itu ialah ahli-ahli
matematik, guru dan orang dewasa yang lain.
Dalam kehidupan harian, kita sentiasa dikehendaki
membuat rundingan dalam mengatasi masalah. Tujuan rundingan adalah
untuk mencapai persetujuan di antara dua pihak atau lebih dalam
proses interaksi sosial. Jadi, kemahiran membuat rundingan perlu
dikuasai oleh pelajar-pelajar sebelum mereka meninggalkan sekolah. Untuk menghasilkan rundingan yang menyakinkan orang lain, seseorang
itu haruslah mengumpulkan sebarang maklumat yang berkenaan dan
membentuk hujah-hujah yang sesuai. Contoh berikut mengilustrasikan
satu proses rundingan di dalam situasi pengajaran dan pembelajaran
matematik di bilik darjah.
Guru :"Bolehkah anda tolong cikgu kira
jawapan bagi 240 x 22 ?"
(Selepas lebih kurang 30 saat)
Pelajar A :" Cikgu, jawapannya ialah
5280."
Pelajar-pelajar lain :
"Cepatnya engkau kira! Betul tak jawapan
anda itu?"
Guru :"Boleh anda tunjukkan
penyelesaiannya? "
Pelajar A :"Boleh! " (Lihat penyelesaian
berikut yang ditulis olehnya.)
240 x 22 = 4800 + 480
240 x 20 diikuti dengan 240 x 2
= 5280
Pelajar-pelajar lain :"Betullah
jawapannya. Oh, macam ini rupanya!"
Dalam situasi ini, penyelesaian yang ditunjukkan
oleh pelajar A adalah berlainan dengan yang lazim dilakukan oleh
pelajar lain. Namun, pelajar A dapat merundingcarakan
penyelesaiannya untuk diterima oleh kawan sebayanya dengan
mengemukakan hujah-hujah yang logik untuk mempertahankan
penyelesaiannya.
Dalam proses pengajaran dan pembelajaran seperti
di atas, seseorang itu (pelajar-pelajar lain) akan membina atau
menyusun semula pengetahuan yang baru diperolehi dengan yang sedia
ada dan membentuk pengetahuan yang baru. Proses komunikasi melalui
interaksi sosial dalam pembelajaran matematik memerlukan pelajar
membuat perundingan yang mana membolehkan pengetahuan matematik
dibina dan perkembangkan dalam mindanya.
Mengikut Blumer (1969) dan Bauersfeld (1988),
peluang-peluang bagi kanak-kanak membina pengetahuan matematik wujud
apabila mereka berinteraksi dengan guru dan rakan sebayanya.
Pembinaan matematik yang dihasilkan oleh kanak-kanak dikatakan bukan
wujud secara tersendiri. Sebaliknya, pembinaan-pembinaan itu
terkawal oleh kewajipan masing-masing untuk membentuk interpretasi
yang boleh disesuaikan dengan pembinaan ahli dalam komuniti bilik
darjah.
Cobb (in press) (dalam Cobb, Wood & Yackel, 1990) pula
mengatakan dalam komunikasi berciri matematik, makna-makna
dirundingcarakan.
Peranan komunikasi melalui interaksi sosial dalam
pembinaan dan memperkembangkan pengetahuan matematik pelajar juga
dikemukakan oleh Davidson (1990) dalam menyatakan cara-cara
bagaimana pembelajaran koperatif kumpulan kecil boleh membantu
mengatasi masalah pelajar seperti perasaan kecewa, takut kepada
matematik, mengelak matematik dan lain-lain lagi. Beliau mengatakan:
-
kumpulan kecil dapat memberi sokongan sosial
untuk mempelajari matematik,
-
interaksi kumpulan boleh membantu semua ahli
kumpulan mempelajari konsep-konsep dan strategi penyelesaian
masalah,
-
dalam memperbincangkan
penyelesaian-penyelesaian yang dikemukakan pelajar boleh memujuk
antara satu sama lain dengan argumen yang logik,
-
pelajar-pelajar boleh memperbincangkan
kelebihan penyelesaian-penyelesaian yang dikemukakan,
-
pelajar-pelajar dalam kumpulan boleh bantu
antara satu sama lain untuk menguasai fakta dan
prosedur-prosedur pengira yang perlu dalam konteks permainan,
memahami masalah-masalah.
-
seseorang itu belajar melalui dengan bercakap,
mendengar, menerangkan, dan melakukan proses berfikir secara
bersendirian dan juga bersama-sama orang lain,
-
dalam kumpulan, pelajar-pelajar boleh
mengatasi masalah yang mencabar yang mungkin di luar keupayaan
individu.
Maher & Alston (1990) juga membincangkan
kepentingan interaksi sosial dengan mengatakan bahawa persekitaran
baru diperlukan untuk mengadakan peluang membina struktur yang lebih
kukuh. Mereka juga mengatakan situasi yang membolehkan guru-guru dan
pelajar-pelajar memperluaskan pengetahuan mereka, dan berinteraksi
dengan orang lain dalam proses perundingan sosial, mengenai fahaman
yang diperoleh dari pengalaman tersebut, adalah diperlukan untuk
perkembangan yang berterusan.
Pendapat ini juga dapat diilustrasikan
dalam contoh mengira jawapan bagi 240 x 22, di mana
pelajar-pelajar lain mungkin dapat menggunakan cara pelajar A untuk
situasi yang lain, atau bagi mereka yang lebih kreatif boleh
menggunakan cara itu sebagai batu loncatan untuk menghasilkan cara
yang lain.
Dalam proses berinteraksi dengan rakan sebaya dan
guru, pelajar-pelajar akan membina pengetahuan baru dan
memperkembangkan pengetahuan sedia ada, seperti yang dinyatakan oleh
NCTM (1991:34),
"Students must talk, with one another as
well as in response to the teacher...When students make
public conjectures and reason with others about mathematics,
ideas and knowledge are developed collaboratively, revealing
mathematics as constructed by human beings within an
intellectual community."
Komunikasi memainkan satu peranan yang penting
dalam membantu kanak-kanak membina pengetahuan mereka. Melalui
komunikasi, kanak-kanak membina pertalian antara fahaman tak formal
dan intuitif dengan bahasa matematik iaitu tatatanda, simbol,
persetujuan dan istilah matematik yang sering dikaitkan sebagai
abstrak. Komunikasi memainkan peranan utama dalam membantu
kanak-kanak menghubungkaitkan antara perwakilan idea matematik yang
dalam bentuk fizikal, simbol, lisan, mental dan lain-lain lagi
4.0 Kesimpulan
Berkomunikasi melalui interaksi sosial yang wujud
di bilik darjah boleh membantu pelajar menguasai kemahiran membaca,
menulis, mendengar, memikir secara kreatif dan berkomunikasi tentang
masalah, yang mana akan memperkembang dan memperdalamkan pemahaman
pelajar-pelajar tentang matematik. Dalam proses pembelajaran
matematik yang boleh mewujudkan interaksi sosial, sering melibatkan
proses rundingan. Proses rundingan akan membantu pelajar melihat
bagaimana rakan sebayanya memahami sesuatu konsep, dan secara
langsung skema dalam mindanya berubahsuai dan memperkembangkan
pengetahuan sedia ada. Di samping itu, proses berunding boleh
mempertajam dan memperdalamkan lagi pemikiran seseorang.
Akhir sekali, jika kita menerima premis bahawa
pengetahuan adalah dibina dan mempunyai hubungkait yang rapat dengan
alam sekitar, salah satu fokus guru matematik ialah mewujudkan
suasana yang menggalakkan komunikasi melalui interaksi sosial
berciri matematik yang bertujuan dalam bilik darjah bagi proses
pengajaran dan pembelajaran matematik.

Dapatkan My Rummy Sekarang!
Rujukan
Baroody, A.J. & Ginsburg, H.P.
(1990). Children's learning: A cognitive view. In R.B.
Davis, C. A. Maher & N. Noddings
(Eds.), Constructivist views on the teaching and learning of
mathematics (m.s. 51-64). Reston, VA: National Council of
Teachers of Mathematics, Inc..
Bauersfed, H. (1988). Interaction,
construction and knowledge : Alternative persperctive for
mathematics education. In T. Cooney & D. Grouws (Eds.), Effective
mathematics teaching (m.s 27 – 46). Reston, VA : NCTM.
Blumer, H. (1969). Symbolic
interactionism Englewood Clliffs, NJ : Prentice – Hall.
Cobb, P. , Wood, T. & Yackel, E.
(1990). Classrooms as learning environments for teachers and
researchers. In R.B. Davis, C. A. Maher & N. Noddings (Eds.),
Constructivist views on the teaching and learning of mathematics
(m.s. 125-146).
Reston, VA: National Council of
Teachers of Mathematics, Inc..
Davidson, N. (1990). Small-group
cooperative learning in mathematics. In T.J. Cooney & C.R. Hirsch
(Eds.), Teaching and learning mathematics in the 1990s (m.s.
52-61). Reston, VA: National Council of Teachers of Mathematics,
Inc..
Ginsburg, H.P. & Baron, J. (1993) .
Cognition: Young childen's construction of mathematics. In R.J.
Jensen (Ed.), Research ideas for the classroom: Early childhood
mathematics (m.s. 3-21). New York: Macmillan Publishing Company
for NCTM.
Koehler, M.S. & Prior, M. (1993).
Classroom interactions: The heartbeat of the teaching/learning
process. In D.T. Owens (ed.), Research ideas for the classroom:
Middle grades mathematics (m.s. 280-298). New York: Macmillan
Publishing Company for NCTM.
Maher, C.A. & Alston, A. (1990).
Teacher development in mathematics in a constructivist framework. In
R.B. Davis, C.A. Maher & N. Noddings (Eds.), Constructivist views
on the teaching and learning of mathematics (m.s. 147-166).
Reston, VA: National Council of Teachers of Mathematics, Inc..
National Council of Teachers of
Mathematics (1989). Curriculum and evaluation standards for
school mathematics. Reston, VA: Author.
National Council of Teachers of
Mathematics (1991). Professional standards for Souviney, R.J.
(1989). Learning to teach mathematics. Columbus, Ohio: Merril
Publishing Company. |