|
PASTI ramai
di kalangan kita masih lagi ingat kanak-kanak istimewa Adi
Putra. Seorang pelajar sekolah rendah yang memaparkan
kebolehan luar biasa apabila menyelesaikan masalah matematik
peringkat universiti dengan mudah. Malah beliau turut mampu
mengajar subjek yang dianggap susah oleh kebanyakan pelajar
peringkat menengah kepada rakan rakannya yang jauh lebih tua
daripadanya. Sudah pastinya setiap ibu bapa menginginkan
seorang anak luar biasa seperti Adi. Namun kenyataannya adik
Adi merupakan pelajar yang sangat bertuah kerana dikurniakan
dengan kebolehan luar biasa yang jarang dimiliki orang lain.
Sebenarnya
bagi kebanyakan pelajar kebolehan menyelesaikan masalah
matematik umumnya, bukanlah satu kurniaan sebaliknya
kebolehan yang perlu digilap secara berterusan. Pelajar
tidak boleh menganggap jika sekali belajar dan mereka tidak
dapat memahami maka dia boleh menguasai matematik. Apabila
menghadapi kesukaran tidak seharusnya pelajar beranggapan
beliau tidak memiliki kebolehan belajar matematik.
Seterusnya berputus asa dan menyerah kalah. Sikap putus asa
dan beranggapan matematik hanya untuk mereka yang 'pandai'
atau istimewa merupakan halangan utama dalam menguasai
subjek ini.
Kebolehan
menguasai ilmu matematik sebenarnya memerlukan teknik yang
perlu dipelajari. Paling penting kemahuan menguasai
pengetahuan ini perlu diiringi dengan kesungguhan untuk
mempelajarinya. Sebenarnya ilmu matematik memiliki ciri
abstraknya yang tertentu menyebabkan ramai pelajar bukan
sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia menganggap ia satu
subjek yang sukar malah menakutkan. Dilaporkan bahawa dua
pertiga pelajar di Amerika contohnya dilaporkan memiliki
sikap negatif tentang matematik. Ramai daripada pelajar ini
tidak menyukai subjek matematik, malah pernah melalui
pengalaman yang kurang selesa apabila belajar matematik sama
ada diperlekehkan oleh rakan ataupun diherdik oleh guru.
Situasi ini menyebabkan ramai pelajar cenderung beranggapan
kebolehan matematik adalah satu kurniaan dan turut
dipengaruhi oleh faktor genetik.
Sebaliknya
pelajar dari Asia dilaporkan sering mengaitkan matematik
dengan sikap kesungguhan. Pelajar di Singapura contohnya
beranggapan kejayaan dalam matematik dipengaruhi usaha tekun
untuk menguasai subjek ini dan bukan kurniaan kepada
golongan tertentu. Kesungguhan ini turut disokong dengan
budaya berlumba yang sengit untuk mencapai tahap akademik
yang terbaik. Bayangkan pula kesungguhan pelajar di Korea
yang belajar dari seawal 8 pagi sehingga jam 1 malam saban
hari!. Sudah tentu kejayaan pelajar negara ini mencapai
tangga teratas dalam ujian matematik peringkat antarabangsa
(TIMMS) berpunca daripada cara hidup mereka yang sungguh
tekun berusaha.
Sikap
kesungguhan menuntut ilmu matematik dan juga ilmu-ilmu yang
lain perlu dibina secara beransur dalam diri pelajar sejak
kecil lagi. Kesungguhan ini bukan bermatlamatkan sekadar
memperoleh markah tertinggi dalam ujian sekolah, tetapi
wajar menjadi keperluan harian yang sebati dengan kehidupan
harian.
Keperluan
menguasai ilmu matematik turut didorong oleh sifat
utililitinya yang amat tinggi. Hampir semua bidang pekerjaan
memerlukan pengetahuan matematik. Daripada mengira mudah
sehingga kepada menjalankan analisis kompleks dalam
menyelesaikan masalah peringkat tinggi seperti dalam bidang
penyelidikan dan pembangunan yang diamalkan oleh kebanyakan
syarikat besar. Seorang senator di Amerika syarikat
menganggarkan hampir 70 peratus pekerjaan abad kedua puluh
satu memerlukan pengetahuan matematik.
Kepentingan
penguasaan ilmu matematik peringkat sekolah sudah menjadi
keperluan mendesak dan memerlukan perhatian sewajarnya
daripada semua pihak khususnya ibu bapa dan sekolah. Tidak
hairanlah pusat tuisyen sekarang tumbuh seperti cendawan
bagi memenuhi keperluan ibu bapa yang mencari alternatif
selain daripada sumber sekolah bagi membantu keperluan
pendidikan anak-anak mereka.
Advertisement: Do
you know about 'number sense' math game?

Click the picture to
get more information!
Sikap dan
tabiat akan mempengaruhi prestasi pencapaian anak-anak.
Sikap negatif jika tidak dikawal menjadi tabiat yang sukar
dibaiki. Sikap negatif terbentuk secara perlahan-lahan dan
perlu diawasi. Sifat seperti malu bertanya dan merasa rendah
diri perlu dihindari. Peranan ibu bapa dan pendidik dalam
mewujudkan persekitaran positif dan kondusif tidak boleh
dipandang remeh. Ibu bapa mempunyai peranan yang sangat
besar dan harus berterusan menjadi sumber dorongan dan
sokongan kepada anak-anak. Manakala guru merupakan sumber
utama ilmu dan wajar dihormati. Dekati guru dan bertanyalah
jika menemui kebuntuan kerana setiap guru yang berpengalaman
tahu punca kesukaran anda. Biasakan bertemu guru dan jalin
pertalian mesra dengannya. Jika guru sudah tidak dapat
membantu maka carilah sumber lain. Jangan cepat berputus asa
kerana di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Jika tidak
dilahirkan sebagai Adi Putra anak anda mungkin mengikuti
langkah Bill Gates yang awalnya gagal dalam pendidikan
formal tetapi sekarang menjadi antara orang terkaya dan
sangat terpengaruh di dunia!
|