|
PULAU
SIPADAN SABAH

Sebuah ‘lagenda’ adalah perkataan yang paling sesuai bagi
menggambarkan Pulau Sipadan. Menyebut tentang Pulau Sipadan, apa
yang tergambar difikiran adalah jerung hammerhead, jerung putih
dan juga jerung leopard berenang bersama-sama penyelam,
berjuta-juta ikan di terumbu karang yang berwarna-warni yang
menerangi ruang dasar lautan dan penyu laut menyusur dengan
tenang mengikut rentaknya yang tersendiri.
Merupakan antara lima destinasi menyelam yang terkenal di
dunia, kepulauan tropika yang dilitupi dengan hutan hujan
terbina daripada kedalaman sejauh 700 meter daripada dasar laut
di perairan Sulawesi. Terbentuk sejak berjuta-juta tahun yang
lalu daripada gunung berapi di dasar laut,
Pulau
Sipadan merupakan satu-satunya pulau laut dalam di Malaysia.

Kejernihan
air laut di Pulau
Sipadan yang merupakan satu-satunya pulau laut dalam di
Malaysia.
Untuk mengalami sendiri keasyikan di sini, waktu yang terbaik
untuk ke
Pulau
Sipadan adalah daripada bulan April hingga November.
Dapatkan penerbangan daripada Kuala Lumpur (tiga jam) ataupun
Kota Kinabalu (50 minit) untuk ke Tawau. Daripada Tawau,
teruskan perjalanan dengan menaiki van mini ataupun teksi untuk
ke bandar pelabuhan Semporna (dua jam), dan anda boleh
mendapatkan penginapan di sini.
Sebagai alternatif, anda juga boleh pilih untuk menginap di
pulau-pulau lain seperti Pulau Mabul (25 minit dengan menaiki
bot), Pulau Kapalai (18 minit dengan bot) ataupun Pulau Mataking
(80 minit dengan bot) sebelum meneruskan perjalanan ke Sipadan.
Tiada rumah peranginan atau tempat tinggal dibenarkan dibina di
Pulau
Sipadan. Ini adalah untuk memastikan keaslian kualiti di
pulau ini terpelihara.
Pastikan anda tidak ketinggalan untuk melawat Barracuda
Point, sebuah kawasan menyelam yang paling popular di
Pulau
Sipadan di mana airnya sangat jernih. Nama tempat ini
diperolehi kerana terdapatnya sekawan Barracuda yang sering
dijumpai di sini. Rasakan dengan sendiri pengalaman bertemu
secara dekat dengan jerung ‘leopard, jerung putih dan juga penyu.

Kemudian kita menuju pula ke Coral Garden di mana penyelam
biasanya melakukan pendakian selepas melepasi Barracuda Point.
Taman di dalam air ini mengalu-alukan kehadiran anda dengan ikan
ayam laut, sekawan ikan-ikan kecil dan juga ikan-ikan besar.
Lihatlah diceruk-ceruk dan juga di celah-celah untuk melihat
ketam lebah ataupun udang mantis.
Kemudian, kita tuju ke South Point, berhati-hati kerana arus
di sini agak deras, jadi menyelamlah hampir dengan penyelam
profesional. Di sini anda boleh melihat lebih banyak ikan
pisang-pisang, ikan kelawar, ikan landuk, ikan merah dan juga
ikan ‘rainbow runners’. Hidupan marin lain yang boleh dilihat di
South
Point Pulau Sipadan ini
termasuklah ikan bulu ayam (lion fish) , ikan buaya, ikan
buntal, ikan batu dan juga penyu. Untuk berjumpa dengan
sekumpulan besar ikan ‘parrot’ atau jerung ‘hammerhead’,
keluarlah seawal jam 5.30 pagi untuk menyelam.
Akhir sekali, Hanging Garden merupakan suatu lagi destinasi
unik di mana penyelam akan kembali berada di puncak terumbu
karang di perairan cetek dan secara perlahan-lahan turun kembali
ke dasar. Nikmati keindahan dasar laut
Pulau
Sipadan
yang dihiasi dengan karang-karang yang berwarna-warni dan
pelbagai bentuk. Batu karang, obor-obor besar, karang hitam,
parasit laut dan banyak lagi. Perhatikan betul-betul pada
gua-gua kecil, mana tahu mungkin tiba-tiba anda terpandangkan
sepasang mata sedang memerhatikan gerak-geri anda!
Cuba dapatkan
pakej yang menarik yang meliputi lebih daripada seorang penyelam,
sewaan peralatan, pindahan bot, makan tengahari dan juga minuman
di sepanjang aktiviti menyelam. Perkataan ‘menakjubkan’ amat
sesuai untuk menafsirkan pengalaman di
Pulau
Sipadan.
|